Hamid, Zulkifley (2013) Perancangan dan pelaksanaan program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia / Zulkifley Hamid. In: Prosiding Seminar Antarabangsa Pengajian Melayu 2013, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Hamid, Zulkifley (2013) Perancangan dan pelaksanaan program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia / Zulkifley Hamid. In: Prosiding Seminar Antarabangsa Pengajian Melayu 2013, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Hamid, Zulkifley (2013) Perancangan dan pelaksanaan program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia / Zulkifley Hamid. In: Prosiding Seminar Antarabangsa Pengajian Melayu 2013, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Abstrak / Ringkasan / Sinopsis
Kertas ini memfokuskan perbincangan pada beberapa aspek yang mempengaruhi perancangan dan pelaksanaan program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia. Aspek yang berkaitan status kebahasaan pelajar, bahan pengajaran, dan pencapaian atau kejayaan pelaksanaan akan menjadi fokus perbincangan makalah ini. Perbincangan tentang pencapaian dalam bidang pendidikan bahasa Melayu di Malaysia akan dilakukan berlandaskan teori-teori yang dikemukakan dalam bidang linguistik. Perbincangan dilakukan berlandaskan pandangan pakar, dan data dari kajian lapangan. Data kajian lapangan diperolehi daripada soal selidik yang diedarkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Perbincangan dalam makalah ini memperlihatkan kepada kita bahawa pendekatan dan penyediaan bahan pengajaran dalam program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia tidak dapat membentuk pengguna bahasa Melayu yang berwibawa. Keadaan ini berlaku kerana perancang dan pelaksana program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia terlalu memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran aspek nahu bahasa Melayu, dan mengabaikan aspek kecekapan berbahasa Melayu. Ketakseimbangan pengetahuan bahasa Melayu akan menjejaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa formal Negara, dan akan turut menjejaskan peranannya sebagai mekanisma penyatuan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik. Kata Kunci: Kecekapan berbahasa, kebolehterimaan, kesahan psikologi, sintagmatik, paradigmatik. Abstract This paper discusses the various questions related to Malay language education in Malaysia. The question about linguistic status of students, teaching approaches and instructional materials would be the focus of discussion in this paper. The discussion on the achievements of the Malay language education in Malaysia will be based on theories put forward in the field of linguistics. The discussion will also be based on data from field studies. Data obtained from field surveys that were distributed among primary and secondary school students will be used to support ideas proposed in this paper. The discussion in this paper demonstrates to us that the approach and preparation of teaching materials in the educational process of Malay language in Malaysia is not able to form credible Malay language users. This occurs because planners and implementers of Malay language programs in Malaysia is too focused on teaching and learning aspects of Malay grammar, and ignore the social aspect of the Malay language. Imbalance of knowledge will affect the role of the Malay language as a formal language of Malaysia, and it will also affect its role as a language of unity among Malaysian. 676 Keywords: Language proficiency, acceptability, psychological reality, sintagmatic, paradigmatic. Pengenalan Matlamat pendidikan bahasa Melayu telah dijelaskan dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu untuk sekolah rendah dan menengah oleh Bahagian Perancangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan. Kurikulum tersebut menggariskan bahawa program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya merupakan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap, iaitu aspek-aspek kenahuan dan kecekapan berbahasa ditakrif dan diajar sebagai dua aspek kebahasaan yang saling melengkapi. Matlamat program pengajaran bahasa Melayu adalah untuk mewujudkan golongan pelajar yang berketerampilan dalam penggunaan bahasa Melayu, sama ada dari segi kemampuan menghasilkan output bahasa atau pun dari segi ketepatan dalam pemahaman input bahasa. Ini jelas terkandung dalam Sukatan Pembelajaran Sekolah Menengah Bahasa Malaysia yang menyatakan pada muka surat pertama bahawa: Pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Malaysia yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat. Matlamat yang terkandung dalam Dasar Pendidikan negara dan apa yang dikemukakan dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu adalah sejajar dengan pandangan yang dikemukakan oleh para sarjana. Bahasa tidak sahaja ditanggapi oleh para sarjana sebagai terdiri daripada aspek kenahuan tetapi juga aspek yang berkaitan dengan kebudayaan dan sistem nilai masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut. Bahkan, ramai sarjana menganggap bahawa bahasa, pola pemikian dan sistem nilai para penggunanya adalah aspekaspek yang berjalinan (Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan 2011). Dengan kata lain, pada tahap tertentu, bahasa akan menjadi penentu bagi bentuk pentafsiran yang akan dibuat oleh seseorang terhadap pelbagai fenomena yang ditanggapi atau ditemui olehnya, sama ada fenomena itu bersifat zahir ataupun batin. Pandangan yang sebegini pernah ditegaskan oleh Syed Mohamad Naguib (1990:39), menurut beliau: Ahli ilmu bahasa yang benar-benar mendalam tilikannya terhadap falsafah bahasa seperti Humboldt dan Cassirer dan lain-lain lagi, sedia maklum bahawa sifat sesuatu bahasa itu merupakan cara pandangan terhadap alam semesta, yang masing-masing mentafsir hakikat pengalaman dan keadaan sekeliling menerusi tapisan bahasa itu; bahawa rencana bahasa itu seakan-akan suatu tabir nipis beraneka warna yang senantiasa berada di hadapan wajah si pemandang alam, baik pun yang dipandangnya itu alam ‘luar’ mahupun alam batin. Pandangan oleh Syed Mohamad Naguib dalam petikan di atas membayangkan bahawa bahasa dan rupa bentuk mental atau psikik para penuturnya adalah aspek-aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan yang saling berkaitan. Dengan kata lain, aspek linguistik dan psikososio serta budaya para penutur bersusur galur secara amat erat. 677 Persoalan dan Permasalahan Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia Program pendidikan bahasa Melayu yang berjaya bertitik tolak daripada proses perancangan dan pelaksanaan yang teliti, kemas dan wajar. Semasa merancang dan melaksana sesuatu program pendidikan bahasa Melayu, semua pemboleh ubah yang boleh mempengaruhi kejayaan sesuatu program harus diambil kira. Kita semua sedar bahawa Malaysia ialah negara multi etnik, dan rakyatnya menuturkan pelbagai bahasa. Kepelbagaian akan menyebabkan tugas merancang dan melaksana program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia menjadi tugas yang rumit. Banyak pemboleh ubah yang terlibat dalam proses mengajar dan mempelajari Bahasa Kebangsaan ini. Pelbagai dapatan penyelidikan lepas menunjukkan bahawa setiap pemboleh ubah boleh yang terlibat dalam sesuatru program pendidikan bahasa boleh memberikan pelbagai kesan sama ada kesan positif atau negatif, dan ia mempengaruhi golongan pelajar yang berbeza dengan cara yang berlainan (Brown 1980). Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pendidikan yang terbuka. Setiap kaum di Malaysia dibenarkan memberikan pendidikan formal kepada kelompok bangsanya melalui bahasa pengantar yang dihajati oleh mereka, asalkan mematuhi beberapa kekangan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Disebabkan oleh kelonggaran yang ada, di Malaysia wujud pelbagai kategori sekolah antaranya sekolah rendah dan menengah kebangsaan, sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan (Cina), sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil), dan wujudnya pelbagai jenis sekolah rendah dan menengah persendirian yang mempunyai sifat-sifat yang tersendiri pula. Di samping kewujudan pelbagai kategori sekolah, para pelajar yang belajar di sesebuah sekolah pula terdiri daripada pelbagai bangsa, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain. Keadaan tersebut memberikan pelbagai kesan terhadap program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Para pelajar Melayu akan mempelajarinya berdasarkan status sebagai penutur bahasa pertama, manakala para pelajar bukan Melayu pula akan mempelajarinya berdasarkan status sebagai penutur bahasa kedua. Walaupun kedudukan pelajar Melayu dan bukan Melayu berbeza dari segi latar belakang bahasa, tetapi program pendidikan bahasa tidak membezakan mereka. Mereka secara umumnya diajar dengan menggunakan bahan dan perkaedahan yang sama (Azman 1989). Bahasa Melayu mendukung pelbagai peranan penting dalam kehidupan rakyat Malaysia. Peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu amat penting dalam memelihara kestabilan masyarakat dan negara. Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi tetapi juga sebagai alat untuk menyatupadukan dan mengharmonikan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini. Hal ini ditegaskan oleh Asmah (1982:22), “Banyak faktor boleh diyatakan bagi pembentukkan rakyat yang bersatu padu, seperti agama, budaya dan bahasa. Daripada yang tiga ini, bahasa adalah dan telah dibuktikan sebagai faktor yang paling berkesan”. Tanpa satu bahasa rasmi yang sama-sama difahami secara jitu dan menyeluruh, perpaduan di kalangan rakyat berkemungkinan besar sukar untuk dicapai. Sekiranya peranan bahasa Melayu sebegini penting, dapatlah kita andaikan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja berperanan sebagai wahana komunikasi, tetapi juga sebagai penentu dalam menjamin keharmonian masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, bahasa Melayu yang menjadi wahana perhubungan rakyat sewajarnya dikuasai oleh semua rakyat Malaysia dengan fasih. Kefasihan di sini merujuk kedua-dua aspek kebahasaan, kanahuan dan kewajaran penggunaan. Kemajuan ekonomi yang telah dan bakal kita nikmati akan menjadi hambar dan sia-sia tanpa perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat. Dalam kertas ini, kita akan menilai 678 apakah sasaran untuk mewujudkan golongan pelajar yang berwibawa semasa menggunakan bahasa Melayu dapat kita capai. Metodologi Dalam kertas ini, pengsahihan hujah dilakukan dengan dua kaedah pembuktian. Dalam kaedah pertama, teori-teori linguistik yang berwibawa akan menjadi sandaran dalam berhujah dan mengemukakan pandangan. Di samping itu, pandangan pakar bahasa dari dalam dan luar negara turut dikemukakan dalam mewajarkan hujah dan pandangan yang dikemukakan. Dalam kaedah kedua, data yang diperolehi dari kajian lapangan akan turut dikemukakan bagi menyokong dan mewajarkan pandangan yang dikemukakan. Data lapangan ini dikumpulkan menggunakan kaedah soal selidik. Soal selidik ini diedarkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Sekolah-sekolah ini adalah sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan Bandar Baru Bangi dan Kajang Selangor. Data kajian lapangan dianalisis menggunakan kaedah statistik deskriptif. Data yang telah dianalisis dan dirumuskan dikemukakan dalam bentuk jadual untuk memudahkan pemahaman. Teori dan Hala Tuju dalam Pendidikan Bahasa Teori adalah ibarat kompas atau penunjuk yang memberitahu kita arah yang seharusnya diambil dalam proses merancangkan dan melaksanakan sesuatu program akademik. Tanpa teori, kita akan kehilangan arah dalam menentukan apakah tindakan yang terbaik yang boleh kita ambil dalam menjayakan sesuatu misi atau objektif pengajaran. Oleh itu, teori yang berwibawa harus dijadikan teras dalam merancang sesuatu program akademik yang penting. Kegagalan para pelajar boleh berpunca daripada pelbagai sebab, dan ia boleh merupakan faktor-faktor di tahap perancangan ataupun pelaksanaan. Di peringkat pelaksanaan, ia mungkin berpunca daripada penentuan kaedah dan pembinaan kurikulum Bahasa Melayu yang kurang sesuai, dan hal ini boleh berlaku akibat daripada kelalaian bahagian kurikulum dan peperiksaan atau juga mungkin berpunca daripada kualiti latihan guru yang kurang cemerlang. Di peringkat pelaksanaan pula, punca kegagalannya mungkin terletak pada kekaburan guru tentang peranan dan tanggungjawab mereka. Tujuan sesuatu program pendidikan bahasa dibentuk dan dilaksana adalah untuk menyampaikan pengetahuan dan pengalaman bahasa yang menyeluruh dan berpada kepada para pelajar yang mengikuti program tersebut. Pengetahuan bahasa yang menyeluruh ialah pengetahuan bahasa yang dapat menjadikan seseorang pelajar itu pengguna bahasa yang berkesan. Keberkesanan penggunaan merujuk ketepatan nahu dan ketrampilan penggunaan. Ia merangkumi kedua-dua aspek, iaitu kejelasan maklumat yang disampaikan dan kebolehterimaan para penerima input terhadap output yang dihasilkan oleh penutur/penulis (Gumperz & Hymes 1972; Gumperz 1974). Berdasarkan pandangan di atas, nyata kepada kita bahawa sesuatu program pendidikan bahasa yang baik ialah program yang membekalkan para pelajar dengan pengetahuan bahasa yang dapat memungkinkan seseorang pelajar memahami input dan menghasilkan output bahasa dengan sempurna. Ini bermaksud, kurikulum yang dirancang haruslah kurikulum yang menyeluruh. Pandangan ini sejajar atau bertepatan dengan pandangan kebanyakan ahli linguistik. 679 De Saussure mengatakan pengetahuan bahasa ialah suatu entiti yang utuh atau menyeluruh, iaitu entiti yang terdiri daripada dua komponen pengetahuan, iaitu pengetahuan tentang langue dan pengetahuan tentang parole. Langue merujuk pengetahuan tentang sistem formal sesuatu bahasa, iaitu sistem fonologi, morfologi dan sintaksis, manakala parole merujuk pengetahuan tentang cara berbahasa atau cara menyampaikan pandangan dalam keperihalan keadaan yang berbagai-bagai (Joseph 2010). Dapatlah kita katakan bahawa menurut pandangan ilmu linguistik yang telah dikemukakan oleh De Saussure, pendidikan bahasa yang menyeluruh ialah program pendidikan bahasa yang merangkumi kedua-dua aspek pengetahuan bahasa, iaitu aspek-aspek yang berkaitan dengan peraturan formal atau sistem formal sesuatu bahasa, dan juga aspek-aspek yang berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa dalam situasi yang berbagai-bagai. Bagi Chomsky (dlm. Botha 1989) pula seseorang pengguna bahasa mesti memiliki dua bentuk kemahiran atau kecekapan bahasa, iaitu kecekapan linguistik dan kecekapan pragmatik. Kecekapan linguistik merujuk sistem formal sesuatu bahasa dan kecekapan pragmatik merujuk peraturan sosial atau kemasyarakatan yang harus dipatuhi oleh seseorang pengguna bahasa semasa menggunakan bahasa dalam situasi yang berbagai-bagai, dan dengan tujuan yang berbagai-bagai pula. Widdowson (1979) mentakrifkan pengetahuan bahasa sebagai terdiri daripada dua jenis pengetahuan yang saling melengkapi, iaitu use dan usage. Use merujuk pengetahuan tentang aspek-aspek kenahuan yang terdapat dalam sesuatu bahasa, manakala usage merujuk pengetahuan tentang cara berkomunikasi yang berkesan dalam situasi penggunaan bahasa yang sebenar. Pengetahuan tentang use yang tidak disertai dengan pengetahuan tentang usage tidak mungkin menjadikan sesorang pelajar itu pengguna bahasa yang berkesan. Kedua-dua bentuk pengetahuan ini dapat kita takrifkan sebagai dua bentuk peraturan, iaitu peraturan sintagmatik dan paradigmatik. Sintagmatik merujuk peraturan penyusunan bahan bahasa secara linear atau mandatar, manakala paradigmatik pula merujuk ketrampilan para pengguna bahasa memilih output bahasa yang paling sesuai untuk digunakan dalam keperihalan keadaan tertentu untuk memenuhi tujuan komunikasi yang khusus. Kurikulum atau bahan pengajaran bahasa yang terbaik adalah bahan yang dapat menyediakan para pelajar dengan pengetahuan tentang peraturan sintagmatik dan paradigmatik, iaitu kemahiran nahu dan kemahiran memilih bahan yang bersesuaian dengan sesuatu suasana komunikasi. Salah satu faktor utama yang menghambat pewujudan golongan penutur bahasa Melayu yang dapat berbahasa Melayu secara jelas dan harmoni ini ialah sikap para perancang program pendidikan bahasa itu sendiri. Sebahagian besar para perancang mentakrifkan sistem bahasa itu sebagai sistem nahu. Dengan kata lain, mereka menyamakan nahu dengan bahasa, dan mereka terus mengandaikan bahawa apabila sistem formal sesuatu bahasa telah dikuasai, telah sempurnalah proses pendidikan bahasa. Rumus nahu dapatlah kita samakan seperti jadual sifir kali dalam ilmu matematik. Jadual sifir kali amat penting dalam ilmu matematik, tetapi jadual sifir kali ini bukanlah segala-galanya dalam lakuan atau aktiviti mendarab dan membahagi. Dengan lain perkataan, jadual sifir kali akan memberi manfaat kepada pengguna apabila jadual sifir kali ini dapat membantu penghafal jadual sifir kali menyelesaikan pelbagai masalah mendarab dan membahagi. 680 Pemboleh ubah Etnik dalam Pendidikan Bahasa Setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda mereka yang tersendiri. Bahasa ibunda mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan ‘weltanschauung’ bangsa yang memilikinya. Oleh sebab setiap bangsa mempunyai bahasa ibunda, maka setiap bangsa juga mempunyai sistem nilai yang tersendiri. Sistem nilai ini berlaianan dalam aspek tertentu dengan sistem nilai bangsa-bangsa lain. Tentang pengaruh sesuatu bahasa terhadap pembentukan weltanschauung sesuatu bangsa, Asmah (1987:115) berkata, “Setiap bahasa mempunyai weltanschauung yang tersendiri yang menyebabkan para penutur melihat sesuatu fenomena yang serupa, sama ada fenomena deria atau bukan deria dengan cara yang berbeza daripada penutur bahasa-bahasa lain”. Pandangan Asmah dalam perenggan di atas membayangkan bahawa wujud perbezaan ketara dalam menanggapi dan menilai pelbagai fenomena bagi dua rumpun bangsa sekiranya dua bangsa ini menuturkan dua bahasa yang berbeza. Dengan kata lain, bahasa akan membezakan weltanschauung para penuturnya. Perbezaan bahasa berkemungkinan besar boleh mempengaruhi perbezaan terhadap pembentukan weltanschauung sesuatu bangsa. Dapatlah kita mengandaikan bahawa para pengguna natif (mereka yang menggunakan sesuatu bahasa sebagai bahasa ibunda) sesuatu bahasa akan berbeza status kebahasaannya dengan para pengguna bahasa kedua bahasa tersebut dalam beberapa aspek. Perbezaan status kebahasaan harus ditangani semasa kita merancang dan melaksana sesuatu program pendidikan bahasa kerana pemboleh ubah etnik merupakan pemboleh ubah yang penting, dan menentukan hala tuju sesuatu program pendidikan bahasa (Kubota & Lin 2007). Dalam bahagian seterusnya akan dikemukakan pandangan daripada para sarjana dan data dari kajian lapangan untuk memperlihatkan hakikat bahawa perancangan dan pelaksanaan program pendidikan bahasa yang tidak dilakukan dengan teliti akan menyebabkan ketakseimbangan dalam penguasaan pengetahuan bahasa. Ketakseimbangan Penguasaan Pengetahuan Bahasa Melayu Dapatan penyelidikan membayangkan bahawa program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah berjaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berbahasa Melayu, khususnya bagi aspek-aspek kebahasaan yang diberikan tumpuan dalam pengajaran di dalam kelas. Sungguhpun dapatan penyelidikan memberikan gambaran bahawa program ini berkesan, tetapi ia juga menggambarkan satu aspek yang negatif. Ia turut menggambarkan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah tidak begitu berjaya jika dinilai daripada sudut kesahan psikologi (Zulkifley 2005). Dapatan penyelidikan yang dikemukakan dalam Jadual 1 membayangkan hakikat ini. Jadual 1 Perbandingan skor Pencapaian antara Nahu dan kecekapan Berbahasa Peringkat Sekolah Nahu Kecekapan Berbahasa Sekolah rendah 74.77% 48.48% Sekolah menengah 79.32% 61.90% Jadual 1 membayangkan bahawa bahagian nahu dikuasai dengan lebih baik berbanding dengan bahagian kecekapan berbahasa. Ketakseimbangan skor ini berkemungkinan besar akan menjejaskan prestasi para pelajar apabila mereka menggunakan bahasa Melayu untuk pelbagai tujuan. 681 Pengajaran yang seimbang ialah pengajaran yang menyediakan para pengguna dengan pengetahuan bahasa yang akan membolehkan mereka menjadi pengguna yang berkesan dalam pelbagai keperihalan keadaan. Penggunaan bahasa secara wajar dan bersesuaian dengan keperihalan keadaan mudah untuk difahami dan diterima oleh pendengar (Zulkifley 2011). Kebolehterimaan (acceptability) bukan sahaja bergantung kepada kegramatisan ayatayat yang dihasilkan, tetapi juga kesesuaian penggunaan dalam situasi yang berbeza-beza. Lebih membimbangkan adalah ketakseimbangan pengetahuan bahasa Melayu ini turut melibatkan para pelajar bukan Melayu, iaitu para pelajar yang menguasai bahasa Melayu melalui sistem pendidikan formal di sekolah rendah dan menengah. Data memperlihatkan bahawa ketakseimbangan pengetahuan bahasa Melayu ini berlarutan hingga ke sekolah menengah (Zulkifley 2005). Jadual 2 yang dipaparkan di bawah menyerlahkan hakikat ini. Jadual 2 Perbandingan Skor Pencapaian di kalangan para Pelajar bukan Melayu bagi Skor nahu dan Kecekapan Berbahasa Peringkat Sekolah Nahu Kecekapan Berbahasa Sekolah Rendah 74.50% 47.90% Sekolah Menengah 81.30% 58.30% Program pengajaran bahasa Melayu yang memberatkan aspek nahu sahaja, besar kemungkinan telah terpengaruh oleh pandangan-pandangan yang dikemukakan berteraskan pendekatan Transformasi Generatif. Bagi Taransformasi Generatif, sintaksis merupakan aspek utama yang harus dipentingkan (Steinberg – terj. Azhar 1990). Skema yang mengutamakan sintaksis dalam menghuraikan pengetahuan penutur adalah skema yang tidak sejajar dengan konsep kesahan psikologi. Untuk memudahkan penghuraian, akan dikemukakan satu skema nahu Transformasi Generatif Chomsky sebagai contoh. Berdasarkan Rajah 1, bagi aliran Transformasi Generatif, penghasilan output bahasa bermula dengan rumus sintaksis dasar. Kemudian ia diikuti oleh struktur dalam (struktur sintaksis abstrak) dan struktur permukaan. Selepas itu, baharu wujud rumusan-rumusan semantik. Seterusnya, baharulah wujud buah fikiran atau representasi semantik. Proses penghasilan output bahasa menurut skema ini dapat diringkaskan seperti dalam Rajah 2. Skema yang mengutamakan sintaksis dalam menghuraikan pengetahuan penutur adalah skema yang tidak sejajar dengan konsep kesahan psikologi. Untuk memudahkan penghuraian, akan dikemukakan satu skema nahu Transformasi Generatif Chomsky sebagai contoh. 682 Bentuk logik Rajah 1 Skema Nahu Teori Buku Yang Diperluas Sumber: Rajah ini disesuaikan daripada pandangan Steinberg (terj. Azhar 1990). Rumus Dasar I Leksikon I Penanda Frasa Mula (Struktur Dalaman) Rumusan Tranformasi Penanda Frasa Akhir (Struktur Permukaan) Rumusan Semantik 2 dan rumusan sistem kognitif yang lain Representasi Semantik 1 Rumus Fonologi Rumus Semantik Representasi Fonetik Representasi Semantik 683 Rajah 2 Urutan Penghasilan Output Bahasa Menurut Pendekatan Transformasi Generatif Urutan dalam Rajah 2 adalah urutan yang kurang wajar, dan tidak munasabah untuk kita mengandaikan bahawa pengguna bahasa memulakan proses penghasilan output bahasa dengan menyediakan kerangka ayat (struktur sintaksis) sebagai langkah pertama, dan akhir sekali baharulah difikirkan buah fikiran atau pandangan-pandangan yang hendak dikemukakan. Tentang ketakwajaran dan ketaksejajaran pendekatan Transformasi Generatif dengan gerak laku bahasa sebenar telah dinyatakan oleh Steinberg (terj. Azhar 1990:96). Menurut beliau: Tidak ada proses gerak laku penutur sebenar yang bermula dengan struktur sintaksis yang didatangkan daripada komponen dasar, iaitu struktur dalaman. Proses gerak laku bermula dengan bunyi (Representasi Fonetik) untuk memahami sesuatu atau bermula dengan makna (Representasi Semantik) untuk mengujarkan sesuatu. Berdasarkan skor pencapaian dapatlah kita mengandaikan bahawa program pengajaran dan pembelajaran bahasa yang berorientasikan pendekatan transformasi Generatif, iaitu pendekatan yang menumpukan kepada sintaksis, adalah program yang tidak sejajar dengan hakikat psikologi. Semasa berkomunikasi, para penggunan bahasa bermula dengan sesuatu gagasan atau hasrat. Hanya selepas sesuatu hasrat ditentukan, baharulah ia distrukturkan dalam ayat yang tertentu. Secara sederhana urutan penghasilan output bahasa boleh digambarkan seperti dalam rajah berikut. Rajah 3 Urutan Proses Penghasilan Output Bahasa Sumber: Rajah ini disesuaikan daripada pandangan Steinberg (terj. Azhar 1990) hal.96. Struktur Sintaksis Dasar Struktur Sintaksis Dalaman Struktur Sintaksis Permukaan Representasi Fonetik Representasi Semantik Membina Representasi Semantik Membina Representasi Fonetik Membina Representasi Sintaksis 684 Ketakseimbangan Bahan dan Fokus Pengajaran Bentuk pengajaran yang seimbang ialah pengajaran yang akan menyediakan para pelajar dengan aspek-aspek kemahiran bahasa bagi membolehkan mereka menjadi pengguna bahasa yang berkesan dalam pelbagai situasi dan untuk pelbagai tujuan penggunaan bahasa yang berbeza. Tentang hal ini Brumfit (1995:9) menyatakan, “kita juga semakin sedar bahawa kelainan bahasa mempunyai kepentingan sosial”. Pengetahuan bahasa yang seimbang akan membolehkan para pelajar menghasilkan output bahasa yang mempunyai ciri-ciri kegramatisan, kewajaran dan berkesan dalam pelbagai situasi sosial untuk pelbagai tujuan. Semasa kita berbahasa, output bahasa bukan sahaja perlu gramatis, tetapi juga, kesan makna yang terhasil daripada penggunaan ayat tersebut mestilah boleh diterima dengan baik oleh individu atau kelompok sasaran. Penerima sasaran akan segera menolak input yang pada tanggapan mereka bertentangan dengan budi dan budaya hidup mereka. Dengan kata lain, bahasa yang pedas walaupun baku, indah dan memenuhi pelbagai kriteria kenahuan, tidak akan diperendahkan atau akan ditolak dengan penuh kesinisan atau bernada permusuhan oleh penerima sasaran. Jika tahap kewibawaan berbahasa dinilai berdasarkan keseimbangan pengetahuan, iaitu di antara kenahuan dan kewajaran penggunaan, ternyata pengetahuan yang dimiliki oleh para pelajar kita adalah kurang seimbang. Bahkan, aspek-aspek yang berkaitan dengan penggunaan ganti nama diri pun tidak dapat dikuasai dengan baik oleh sebahagian pelajar sekolah rendah dan menengah (Goh Ong Sing, 1991:16). Kesimpulan Apabila kita merancangkan dan melaksanakan sesuatu program akademik kita harus merujuk kepada pakar, iaitu mereka yang arif, benar-benar memahami dan telah banyak menjalankan penyelidikan dalam bidang tersebut. Hasil penyelidikan para pakar ini biasanya akan mereka rumuskan dalam bentuk teori atau hipotesis. Teori atau hipotesis inilah yang seharusnya menjadi pedoman paling berharga kepada kita dalam menentukan hala tuju sesuatu program akademik yang penting, khususnya yang dibicarakan dalam kertas ini ialah program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia. Perbincangan yang dikemukakan dalam bahagian di atas memperlihatkan kepada kita wujud kepincangan yang nyata dalam program pendidikan bahasa Melayu di Malaysia. Data kajian lapangan dan pandangan para pakar dalam bidang pendidikan bahasa Melayu menyerlahkan hakikat ketakseimbangan penguasaan pengetahuan bahasa Melayu, iaitu ia memperlihatkan kepada kita bahawa aspek pengetahuan nahu bahasa Melayu dikuasai dengan lebih baik berbanding aspek kecekapan berbahasa Melayu. Keadaan ini membolehkan kita membuat jangkaan bahawa para pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia berkemungkinan besar dapat menggunakan bahasa Melayu secara gramatis, tetapi mereka agak kurang berkemampuan untuk menggunakan bahasa Melayu secara wajar. Fenomena ini akan menyebabkan aspek kesantunan dan kesusilaan dalam berbahasa Melayu kurang dipentingkan. Keadaan ini harus diperbaiki segera kerana bahasa Melayu ialah bahasa perpaduan, dan perpaduan hanya boleh tercipta jika wujud keharmonian dalam berkomunikasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Keharmonian dalam berkomunikasi hanya boleh dipraktikkan jika pengetahuan bahasa Melayu dikuasai oleh rakyat Malaysia secara memadai dan seimbang. 685 Bibliografi Asmah Hj. Omar. 1982. Language and society in Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Hj. Omar. 1987. Malay in its sociocultural context. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Azman Wan Chik (pnyt.). 1989. Mengajar Bahasa Malaysia Jilid I: perkaedahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Botha, R. 1989. Challenging Chomsky: the generative garden game. Cambridge: Basil Blackwell. Brown, H.D., 1980. Principles of Foreign Language Learning and Teaching. Englewood Cliffs, N: Prentice Hall. Brumfit, C. 1995. Language Education in the National Curriculum. Massachussetts: Basil Blackwell Inc. Goh Ong Sing. 1991. Pengajaran tatabahasa KBSM: masalah dan pelaksanaan. Jurnal Dewan Bahasa 35(1): 4-8. Gumperz, J. J. & Hymes D. 1972. Directions in sociolinguistics: the ethnography of communication. New York: Holt, Rinehart and Winston, Inc. Gumperz, J. J. 1974. Linguistics and social interaction in two communities. Dlm. Blount, B. G. Language, culture and society: 250 – 266. Cambridge: Winthrop Publishers, Inc. Joseph, J. E. 2010. Saussure’s note of 1881-1885 on inner speech, linguistic signs and language change. Historiographic Linguistics, Vol. 37, Issue 1-2: 105-132. Kementerian Pendidikan Malaysia. Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah Bahasa Malaysia (KBSM). Kubota, R. & Lin, A. 2006. Race and TESOL: introduction to concepts and theories. TESOL Quaterly, Vol. 40, Issue 3: 471-493. Syed Mohd. Naguib. 1990. Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Petaling Jaya: Angkatan Belia Islam (ABIM). Steinberg, D. 1990. Psikolinguistik: Bahasa, akal budi dan dunia. Terj. Azhar M. Simin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Widdowson, H. 1978. Teaching Language as Communication. London: Oxford University Press. Zaitul Azma Zainon Hamzah & Ahmad Fuad Mat Hassan. 2011. Bahasa dan pemikiran dalam peribahasa Melayu. Gema Online Journal of Language Studies, Volume 11(3) 686 September 2011: 31-51. Zulkifley Hamid. 2005. Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zulkifley Hamid. 2011. Peranan teori psikolinguistik dalam pemurnian dan pemerkasaan pendidikan bahasa Melayu di Malaysia. E-Bangi 6(2), 9: 183-192.
Metadata
Sumber Maklumat: | Respositori Universiti Kebangsaan Malaysia |
---|---|
Taksonomi: | Pendidikan Melayu > Bahasa Pendidikan Melayu > Institusi Pendidikan Melayu |
Bidang: | Pendidikan Melayu |
Tarikh Muatnaik: | 03 Nov 2016 01:38 |
Kata Kunci: | Melayu, Pendidikan |